Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,
Semua manusia di muka bumi ini dalam apa peringkat sekalipun tidak terlepas daripada ujian Allah. Raja diuji, rakyat diuji, orang besar diuji, orang kecil diuji, orang perempuan diuji, orang lelaki diuji, orang jahat diuji, orang baik-baik pun diuji. Semua manusia tidak akan dapat mengelakkan diri mereka daripada diuji.
Ujian itu berbagai-bagai pula bentuknya. Bahkan seribu satu macam ujian datang menimpa dan datang dengan tidak disangka-sangka. Ada yang diuji dengan kemiskinan, kesakitan, bencana alam, kejahatan manusia, fitnah, dengki, penyakit bawaan haiwan, bahaya yang datang dari makanan, bahkan adakalanya ujian perasaan. Kadang-kadang perkara-perkara yang tidak terfikir dan terduga dek akal pun boleh menjadi ujian kepada manusia.
Ujian demi ujian datang menerpa. Isteri memudharatkan suami, suami memudharatkan isteri. Anak memudharatkan ibubapa, ibubapa memudharatkan anak-anaknya. Murid-murid memudharatkan guru, guru-guru memudharatkan murid-muridnya. Adakalanya kenderaan memudharatkan manusia. Harta juga sering memudharatkan tuannya sebagaimana pangkat dan kuasa memudharatkan pemiliknya. Paling menyedihkan apabila sahabat mengkhianati sahabatnya. Malah lebih malang lagi ialah apabila pendakwah menabur fitnah kepada pendakwah yang lain!
Ujian, mehnah dan tribulasi adalah lumrah di dalam Sekolah Kehidupan ini. Kalau memang sudah begini hakikatnya, alangkah baiknya jika ketika kita diuji dalam keadaan kita mentaatiNya daripada diuji dalam keadaan kita menderhaka kepadaNya. Ini kerana sudah tentu ujian dalam keadaan kita mentaatiNya itu pasti akan mendapat redha Allah selain mendapat darjat dan pangkat di dalam Syurga. Kalau dalam derhaka kemudian diuji juga, maka rugilah di dua negeri. Di negeri dunia mendapat kesusahan, di negeri Akhirat sana Neraka pula menjadi balasan. Na’uzubillahi min dzalik.
Apabila menyebut tentang ujian, maka renungilah falsafah bermakna yang digali rahsianya dari Kitab Suci Al-Qur’an Al-Karim berikut. Hayatilah ia dengan mata hati, semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua. Amiin.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)


Tiada ulasan:
Catat Ulasan